kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menasihati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Shah, untuk membubarkan DUN bagi mendapat mandat baharu rakyat.
Mandat ini sangat diperlukan kerana bagi beliau, Ke- rajaan Negeri tidak mahu bergerak secara ihsan pembangkang, khususnya apabila membuat apa-apa keputusan.
Kerajaan yang sedia ada sebelum ini hanya mempunyai majoriti mudah seba- nyak 29 kerusi, manakala di pihak lawan mempunyai 20 kerusi. Apa-apa boleh berlaku, malah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah memberi amaran bila-bila masa kerajaan pim- pinan Hasni boleh tumbang, jika Bersatu menarik diri. Amaran sedemikian menyebabkan Hasni pernah mempertimbangkan untuk membuat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Disember tahun lepas, namun disebabkan masa tidak sesuai kerana banjir melanda, maka ia ditangguhkan seketika.
Situasi ini dikatakan tidak wajar berlaku dan mandat segar diperlukan agar lebih banyak manfaat akan terhasil apabila dijangka menda- pat mandat yang lebih segar dan besar. Hal ini bermakna, apabila kemenangan majoriti bakal diperoleh, maka keya- kinan pelabur asing untuk membuat pelaburan akan bertambah tinggi.
Sudah tentu pelabur mahukan dasar yang menguntungkan daripada kerajaan yang stabil berbanding kerajaan yang kurang stabil dan sukar membuat keputusan kerana dipengaruhi ketidaktentuan kerajaan. Selagi kerajaan yang tipis majoriti, apa-apa sahaja boleh berlaku, pada pandangan pelabur.
Inilah dikatakan MB Johor bahawa beliau perlu mendapat semula mandat rakyat Johor agar Johor lebih maju, berjaya dan bergerak ke hadapan. Hasrat MB Johor ini diyakini oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Maka, Sultan Johor memberi per- kenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri di Istana Bukit Serene. Majlis siaran langsung perkenan Sultan Johor menunjukkan hubungan baik antara baginda dengan MB Johor.
Sebenarnya, sebelum Hasni menasihati Sultan Johor, beliau telah mendapat mandat daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Presiden UMNO bagi mendapat persetujuan untuk mengadakan PRN Johor. Malah Hasni juga telah berjumpa dengan Ke- tua-ketua Bahagian UMNO Johor untuk mendapat maklum balas secara menyeluruh sebelum membawa kepada pengurusan tertinggi parti UMNO. Selepas semua sesi menghadap Sultan selesai, MB akan memaklumkan kepada speaker DUN untuk memaklumkan pembubaran DUN kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh pilihan raya dan tempoh berkempen serta SOP yang perlu dilaksanakan.
Kesesuaian PRN Johor
Sebenarnya PRN Johor diadakan untuk menilai kekuatan jentera BN, khususnya UMNO, dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada 2023. Sekiranya BN Johor me- ngulang kejayaan PRN Melaka dengan mendapat kemenangan besar, maka pasti tercetusnya keyakinan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum lebih awal. Bermakna, kemenangan besar BN di Johor, jika berlaku, mampu memberikan gelombang momentum yang lebih kuat dari segi jentera dan keyakinan tinggi mereka.
Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang berlakunya Covid-19 sudah menjadi norma baharu kepada parti politik. Malah, sudah terbukti dalam PRN Melaka dan Sarawak, penularan kes Covid-19 didapati mampu dikawal sepanjang pilihan raya tersebut. Yang pertama, apabila rata-rata rakyat sudah mendapat vaksinasi sekurang-kurangnya dua dos. Maka alasan Covid-19 untuk menangguhkan pilihan raya dianggap tidak relevan. Cuma, kebelakangan ini kes Covid-19 dilihat meningkat semula, bermakna SOP akan diperketat termasuk dalam PRN Johor. Pembatasan ini dilihat banyak memberikan kelebihan kepada kerajaan yang menyandang, iaitu BN.
Bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara dilanda Covid-19 dilihat banyak me- ngurangkan beban rakyat se- harian. Walaupun isu peluang pekerjaan terbatas, banyak syarikat perniagaan ditutup atau dikecilkan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan, namun, peranan kerajaan dalam penyaluran bantuan seperti mengadakan moratorium, bantuan kepada perniagaan kecil dan sederhana, subsidi dan sebagainya banyak memberikan kelegaan, walaupun bantuan ini bersifat jangka masa pendek. Kesannya, pengundi berasa kerajaan yang ada dilihat lebih bertanggungjawab dan impak ini dijangka akan diterjemahkan dalam bentuk undi. Inilah harapan UMNO dan BN kerana mereka dilihat menjadi pendesak kepada kerajaan untuk memastikan pelbagai bantuan kepada rakyat dilaksanakan, walaupun persefahaman PH yang ditandatangani sebenarnya turut memberikan sumbangan memastikan kebajikan rakyat semua terpelihara tanpa mengira ideologi politik.
Kempen politik
Naratif kempen BN di Johor dijangka menggunakan tadbir urus dan urus tadbir yang cemerlang di bawah kepim- pinan Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor. Pentadbiran Hasni dite- rima oleh semua lapisan ma- syarakat, termasuk sama ada parti kerajaan mahupun pembangkang. Kecemerlangan pentadbiran Hasni menyebabkan tidak ada isu kepim- pinan sebagaimana kepim- pinan terdahulu sehingga terpaksa bertukar Menteri Besar Johor sebanyak dua kali dari parti yang sama, iaitu Bersatu.
Hubungan Hasni sebagai Menteri Besar juga baik de- ngan Istana Johor dan ini menyebabkan Sultan Johor memberikan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Hasni dan Kerajaan Negeri. Maka, pembangkang perlu menamakan calon Menteri Besar Johor dalam kalangan pemimpin pembangkang di Johor bagi mendapat tempat dan soko- ngan kalangan pengundi Johor. Sekiranya, pembangkang berjaya menamakan pemimpin mereka dan rakyat Johor yakin akan ketokohan yang ada untuk menggantikan Hasni sebagai Menteri Besar, maka peluang parti pembangkang untuk menang adalah cerah. Namun, jika sebaliknya berlaku, maka pembangkang akan tewas dalam PRN Johor.
Isu Negeri
Dalam kempen PRN Johor, dijangka pembangkang menggunakan isu kes kluster mahkamah untuk memburukkan parti UMNO. Namun, berdasarkan PRN Melaka, isu kluster mahkamah tidak memberikan impak besar. Dalam PRN Melaka, meskipun ada pihak memainkan isu kluster mahkamah bukan sahaja Zahid, malah Najib Razak, Bung Mokhtar, dan Ahmad Maslan, akan tetapi BN tetap mendapat sokongan sehingga menang besar di Melaka.
Yang kedua, bagi penyokong UMNO dan BN, mereka melihat kes Zahid sebagai tindakan ‘politik’ kerana Zahid enggan tunduk untuk membubarkan parti UMNO untuk diserap dan menyertai Bersatu ke- tika pemerintahan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Mahathir. Kepercayaan ini begitu kuat dalam kalangan akar umbi UMNO dan pengikut mereka. Sebab itulah, penyokong UMNO juga mendakwa kluster lompat parti pula, walaupun awalnya dikatakan turut bakal didakwa, namun tak didakwa, me- nganggap ia sebagai ‘tindakan politik’ semata-mata.
Daripada satu aspek dalam konteks undang-undang negara, seseorang tidak bersalah hingga didapati bersalah, sebagaimana berlaku dalam kes-kes lain. Malah, jika disabitkan, masih ada ruang untuk membuat rayuan seperti dalam kes rayuan Najib Razak. Ternyata isu yang lebih mendapat tempat dalam ka- langan pengundi lebih kepada isu-isu yang bersifat tempatan seperti isu jalan kampung, pengurusan sistem tali air, kemudahan yang ada di daerah mereka berbanding isu bersifat nasional.
Ketika ini juga memberikan ruang kelebihan yang besar kepada Kerajaan Ne- geri Johor apabila harga hasil kelapa sawit kini mencecah RM5,000 satu tan berbanding dengan harga cuma RM350 ketika pentadbiran kerajaan lalu telah memberikan kelebihan kepada BN untuk menunjukkan bahawa ia berupa salah satu kejayaan BN apabila kembali menerajui kerajaan, walaupun kesemua ini dipe- ngaruhi oleh pasaran dunia. Namun, situasi begini se- olah-olah membawa ke- mungkinan besar BN Johor boleh menang majoriti dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)