MIRI: Pencapaian dan keupayaan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dalam melaksanakan berbagai inisiatif dan dasar untuk terus maju banyak menyaksikan ada pihak lain yang boleh dikatakan sebagai menumpang semangkuk.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Timbalan Yang Di-Pertua Parti PBB Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian pada Konvensyen Khas Parti PBB Zon Utara 2020 di sini semalam.
Malah Awang Tengah juga mengingatkan adanya pihak yang mengakui kepimpinan Parti PBB dalam menangani isu cukai dengan Petronas adalah langkah yang bijak (the imposition of sales tax is a very strategic move).
Beliau menegaskan asas-asas teguh yang diletakkan pemimpin terdahulu terus diperjuang dan diperkasakan sejajar dengan komitmen tinggi mengutamakan rakyat dan mengembalikan hak-hak Sarawak.
Dalam sistem politik demokrasi, pemimpin tidak akan dapat membantu jika rakyat tidak menyokong mereka, katanya.
“Jika pemimpin hilang kuasa, kita juga akan kehilangan kuasa. Jika pemimpin menang, kita semua juga akan menang. Kuasa ialah kemenangan,” jelasnya.
Konvensyen ini diadakan khas untuk kawasan Utara Sarawak, manakala tiga lagi konvensyen seterusnya akan diadakan di Sibu, Betong dan Kuching.
Disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan Prosedur Operasi Standard (SOP), Parti PBB sebagai tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih untuk mengadakan empat konvensyen mini berbanding mengadakan konvensyen umum yang besar di Kuching seperti yang biasa diadakan, tegas beliau.
Malah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (RMCO), penganjur hanya dibenar menggunakan 50 peratus daripada kapasiti dewan, katanya dan menegaskan, oleh yang demikian, delegasi yang hadir adalah seramai 900 orang sahaja.
Menyentuh lanjut beliau menegaskan, rakyat Sarawak harus sedar yang benar-benar dapat memperjuangkan kepentingan rakyat ialah parti PBB dan parti-parti dalam GPS.
Konvensyen Zon Utara itu dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Parti PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg dan dihadiri pemimpin-pemimpin kanan Parti PBB, pemimpin Parti Komponen GPS dan veteran parti PBB yang sentiasa setia dengan perjuangan parti PBB.
Oleh Adeng Edrus