
PETRA JAYA: Penentuan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) kekal di bawah budi bicara Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mempunyai kuasa untuk memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebarang spekulasi termasuk dakwaan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh sekitar 100 hari tidak wajar dijadikan ukuran rasmi.
“Hanya Premier Sarawak boleh memberi gambaran paling hampir mengenai tarikh PRN kerana kuasa pembubaran DUN terletak sepenuhnya di bawah prerogatif beliau.
“Individu yang paling hampir untuk memberi gambaran bila pilihan raya akan diadakan ialah Premier Sarawak sendiri kerana kuasa itu ada pada beliau,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua pihak sama ada dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahupun pembangkang sedia maklum bahawa PRN perlu diadakan tahun ini memandangkan penggal DUN Sarawak akan berakhir pada penghujung tahun.
Jelasnya, perkara itu bukan lagi menjadi persoalan kerana proses pilihan raya sememangnya dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.
Mengulas perkembangan politik semasa di Semenanjung, beliau berkata ia boleh diperhatikan sebagai sebahagian landskap politik negara, namun tidak menjejaskan kuasa mutlak Premier Sarawak dalam menentukan tarikh pembubaran DUN.
“Ini bukan lagi rahsia, semua orang tahu pilihan raya perlu diadakan dalam masa terdekat,” katanya.