BANDAR SERI BEGAWAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyertai delegasi Malaysia sempena Konsultasi Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam ke-27 (ALC-27) di sini, hari ini.
ALC-27 mempertemukan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman bagi membincangkan beberapa perkara berkepentingan bersama antara Malaysia dan Brunei.
Antara perkara yang dijangka diberi perhatian ialah kerjasama dalam pengurusan bencana, termasuk melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.
Abang Johari turut bersama delegasi Malaysia dalam siri pertemuan dan program rasmi sempena konsultasi berkenaan.

Untuk rekod, hubungan perdagangan Malaysia-Brunei kekal positif dengan jumlah dagangan kedua-dua negara pada 2025 direkodkan sebanyak RM5.86 bilion.
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Brunei bernilai RM4.20 bilion manakala import dari Brunei berjumlah RM1.66 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jumlah dagangan kedua-dua negara pula mencapai RM2.38 bilion.
Abang Johari turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri di sebuah hotel di sini pada 6.40 petang semalam.
Anwar tiba di Brunei Darussalam pada 6.10 petang bersama isterinya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Pengiran Muda Abdul Mateen bersama isterinya.
Turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Luar, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.





