
PETRA JAYA: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan penyerahan zakat perniagaan dua entiti korporat terkemuka, dalam majlis yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia di sini, pagi tadi.
Penyerahan zakat dua entiti korporat terkemuka tersebut ialah Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), dan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) kepada Tabung Baitulmal Sarawak.
Mewakili BPHB adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak yang juga Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Ruslan Abdul Ghani, Naib Presiden yang juga Kumpulan Pegawai Kewangan Daiana Luna Suip, Pemangku Naib Presiden, Kumpulan Operasi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Sdn Bhd Tuan Matshalleh Mohd Etli, dan beberapa wakil kanan syarikat yang lain.

Sementara itu, BDA diwakili oleh Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari, dan Setiausaha BDA Wan Ibrahim Wan Ali.
Turut hadir, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie.

Majlis ini menandakan komitmen kukuh BDA dan BPHB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat serta memperkukuh hubungan strategik antara sektor korporat dan institusi agama.
Sumbangan zakat ini diharapkan dapat memberikan manfaat yang signifikan kepada masyarakat Islam di Sarawak, khususnya golongan asnaf yang memerlukan bantuan.
Melalui kerjasama erat antara pihak korporat dan Tabung Baitulmal Sarawak, lebih banyak program kebajikan diharapkan dapat dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Penyerahan zakat ini juga mencerminkan kesedaran dan kepekaan kedua-dua syarikat terhadap tanggungjawab mereka dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.