
KOTA SAMARAHAN: Dewan Suarah Kota Samarahan bakal berwajah baharu apabila projek naik taraf dan pembesaran kemudahan itu diluluskan oleh Kerajaan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah meluluskan permohonan bagi menaik taraf dewan tersebut, termasuk pembesaran ruang yang akan membolehkan ia menampung sehingga 2,500 orang pada satu masa.
Pengumuman berkenaan dibuat beliau semasa menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang di sini hari ini.
Permohonan bagi pembesaran dewan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang sebagai usaha menyediakan fasiliti yang lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan masyarakat setempat.
Menurut Abang Johari, projek naik taraf ini adalah penting memandangkan dewan tersebut sering digunakan bagi pelbagai acara berskala besar termasuk program komuniti, sambutan perayaan, majlis rasmi serta aktiviti melibatkan masyarakat pelbagai lapisan.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia yang juga Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Selain itu, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Dato’ Idris Buang; Senator Dewan Negara, Pele Peter Tinggom; Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee; ADUN Beting Maro, Razaili Gapor; ADUN Kota Sentosa, Yap Yau Sin; ADUN Simunjan, Awla Dris dan ADUN Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang turut hadir bersama tetamu jemputan yang lain. – UKAS