Abang Johari imbau sejarah perkhidmatan kesihatan Sarawak di Muzium Lau King Howe

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa mengadakan lawatan ke Muzium Memorial Hospital Lau King Howe sempena sambutan Hari Sarawak 2026 hari ini.

Beliau yang diiringi Dayang Nurjihan Abang Johari tiba kira-kira tengah hari sebelum menandatangani Plak Peringatan Lawatan sebagai tanda kenang-kenangan.

PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengadakan lawatan di Muzium Memorial Hospital Lau King Howe sempena sambutan Hari Sarawak 2026 hari ini.

Ketibaan beliau disambut Pengerusi Persatuan Muzium Memorial Hospital Lau King Howe, Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming bersama barisan pengurusan dan kakitangan muzium.

Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2026 Dato Sri Lee Kim Shin serta kenamaan lain.

Premier kemudian meluangkan kira-kira 40 minit meninjau pelbagai bahan pameran berkaitan sejarah perkhidmatan kesihatan di Sarawak sambil diberi penerangan oleh Pengurus Muzium, John Ting Kang Hang mengenai peralatan perubatan bersejarah yang pernah digunakan Hospital Lau King Howe suatu ketika dahulu.

Hospital Lau King Howe mula dibina pada 1931 dan siap sepenuhnya pada 1936 dengan kos pembinaan berjumlah RM82,000 selepas cadangan pembinaannya dikemukakan oleh tokoh dermawan, Lau King Howe, kepada Kerajaan Rajah Brooke bagi menyediakan kemudahan perubatan yang lebih moden untuk penduduk di bahagian ini.

PREMIER Sarawak meluangkan masa meninjau koleksi dan bahan pameran yang memaparkan sejarah Hospital Lau King Howe yang dibina pada 1931 dan siap pada 1936.

Lau King Howe menyumbang separuh daripada kos pembinaan hospital menggunakan dana peribadinya, sekali gus membolehkan projek tersebut direalisasikan.

Sebagai menghargai sumbangan besar beliau, hospital itu dinamakan sempena namanya sebelum beliau pulang ke China bersama keluarga pada 1931.

Beliau dilaporkan meninggal dunia pada September tahun berikutnya.

Oleh Tarani Lanting