SIBU: Projek menaiktaraf Jalan Khong Yit Khim dengan jumlah kontrak sebanyak RM100 juta bakal merangsang pembangunan Sibu Jaya sebagai sebahagian daripada kawasan baharu di bandar ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek menaiktaraf jalan tersebut kepada jalan raya berkembar akan menjadi penghubung antara jambatan Lanang dan Durin.
“Jambatan Lanang akan menghubungkan Bintangor, Sarikei ke Jalan Pesisir Pantai dengan masa perjalanan dari Sibu ke Kuching hanya tiga jam.
“Begitu juga jambatan Durin akan menghubungkan Kanowit, Song dan Kapit. Kini Jalan Sibu-Kapit dijangka siap pada Oktober atau November depan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke projek menaiktaraf Jalan Khong Yit Khim yang terletak di Jalan Stabau dan Projek Pembinaan 86 Unit Rumah Spektra Permata di Kemuyang di sini semalam.
Mengenai Projek 86 Unit Rumah Spektra Permata, Ketua Menteri memberitahu, sebatang jalan sepanjang sembilan kilometer akan dibina di bawah RMK-12 untuk menghubungkan kawasan Kemuyang dengan Jalan Teku-Pasai.
“Selain itu, pusat komersil juga akan dibina di Kemuyang,” ujarnya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan projek untuk memperkasakan pembangunan di Sibu di bawah RMK-12.
Menurutnya, mulai tahun hadapan lebih banyak projek dijangka dilaksanakan di bawah RMK-12 di Sibu.
“Ini kerana kita mahu Sibu menjadi sebuah kawasan yang meriah dan rancak membangun, dan Sibu berhubung rapat dengan kawasan luar bandar.
“Justeru itu, saya menunaikan janji itu kepada rakyat Sibu ketika dilantik menjadi Ketua Menteri.
“Setiap projek pembangunan yang dijanjikan kepada rakyat di Sibu telah pun ditunaikan sehingga ke hari ini dan akan saya teruskan di bawah RMK-12,” ujarnya.
Lawatan kerja sehari itu, bertujuan untuk melihat peringkat projek yang terdapat di Sibu, dan semua projek tersebut adalah sebahagian daripada rancangan untuk memperluas pembangunan Sibu dan pembaharuan bandar di Sibu. Turut mengiringi ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Kesihatan Awam, Dr Annuar Rapa’ee.
Oleh Akun Giman