
SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyokong usul pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abang Ali.
“Saya menyokong usul pembinaan SMK Abang Ali seperti yang telah dicadangkan oleh Dr Annuar (Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee) tadi.
“Dalam keluarga saya, isteri saya (Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang) pernah belajar di sekolah itu. Dia selalunya tanya saya, bila akan mula buat SMK Abang Ali dan saya menyokong usul itu dan kalau tidak terpaksa tidur di luar,” katanya sambil berseloroh.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak akan membincangkan usul pembinaan sekolah tersebut bersama Kerajaan Persekutuan.
“Kalau tidak, kita akan melaksanakan pembinaannya dengan syarat mereka (kerajaan Persekutuan) membayar balik kos pembinaannya. Dan insya-Allah pembinaan SMK Abang Ali akan menjadi kenyataan,” katanya.
Terdahulu, usul pembinaan SMK Abang Ali telah dibangkitkan oleh Dr Annuar dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut.
Dr Annuar berkata, SK Abang Ali sudah mencecah usia 150 tahun.
“Sudah lama kita mengimpikan penubuhan SMK Abang Ali bagi memastikan kesinambungan pelajar SK Abang Ali melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.
“Sekolah ini pastinya akan memberi impak yang besar kepada pendidikan anak-anak kita, lebih-lebih lagi apabila pembangunan semula Kampung Nangka dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari menyokong usul pembinaan perumahan pasangan muda di Teku yang dibangkitkan oleh Annuar pada majlis tersebut.
“Tidak ada masalah, kita akan bangunkannya,” ujarnya.
Abang Johari melahirkan perasaan bersyukur kerana Sarawak telah berjaya melipat ganda pendapatan.
“Bajet Sarawak kalau kita dibandingkan dengab negeri-negeri lain, Sarawak adalah yang tertinggi, iaitu RM15 bilion. Kita doakan semoga pendapatan kita (Sarawak) akan terus meningkat,” katanya.
Atas sebab itu, katanya, beliau berani untuk memulakan projek yang disebutkan oleh Annuar kerana kedudukan kewangan Sarawak kukuh.
“Tapi kita doakan, jangan kita berpecah. Kalau kita mempunyai keadaan politik yang kucar-kacir, tiada seorang pemimpin dapat membangunkan negerinya.
“Atas sokongan yang kuat oleh seluruh rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama, kita dapat menumpukan cabaran pembangunan kita menggunakan kekuatan sumber dalam kita.
“Menguatkan kedudukan kewangan kita, cara pembangunan, kewangan kita agak unik sekali. Dan sudah tentu kita menggunakan cara-cara baru untuk kita menambah nilai kewangan,” katanya lagi.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Oleh Akun Giman/Tarani Lanting