SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengotakan janjinya untuk melaksana projek mega di Bahagian Sri Aman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri berkata projek mega berkenaan adalah pembinaan Jalan Utama Kedua Batang Lupar termasuk Jambatan Batang Lapar Kedua yang menelan kos keseluruhan RMRM233,633,000.
“Saya telah dimaklumkan, kerja-kerja pembinaan Jalan Utama Kedua Batang Lupar ini baharu sahaja bermula Jun lepas dan dijangka siap menjelang Jun 2024.
“Jalan Utama Kedua Batang Lupar ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak yang dihubungkan terus ke Jambatan Batang Lupar sepanjang 870 meter yang akan dibina tidak lama lagi,” kata beliau.
Simoi ketika melakukan lawatan ke tapak projek itu memberitahu lokasi utama pembinaan Jalan Utama Kedua Batang Lupar adalah di kawasan hujung Kampung Tanjung Engkabang ke Kampung Seberang dan seterusnya ke Betong.
“Projek ini akan menyaksikan pembinaan Jambatan Kabel sepanjang 877 meter termasuk juga rangkaian jalan raya (sebahagian daripada Projek Jalan Utama Kedua Batang Lupar).
“Saya yakin apabila projek ini siap kelak ia secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan taraf sosioekonomi penduduk Lingga dan Sri Aman di samping memendekkan jarak perjalanan ke Betong,” kata beliau.
Hadir sama menyertai lawatan beliau ke tapak projek berkenaan adalah Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Doris Synia dan Ketua Kaum di sini.
Simoi dan rombongan pada sesi lawatan itu mendengar taklimat daripada Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman, Shahbuddin Abu Bakar mengenai selok-belok pelaksanaan projek itu.
Penduduk di sini akan hanya perlu menempuh perjalanan sejauh 27 kilometer ke Betong berbanding jarak sedia ada iaitu 67 kilometer apabila projek itu siap kelak.
Bagaimanapun kedua-dua projek itu yang sepatutnya bermula pada Mac lepas mengalami kelewatan selama 79 hari disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Oleh Valentine Ngumbang