SIBU: Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mahu Kanowit dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam inisiatif Desa Lestari bagi mengembangkan potensi ekonomi masyarakat luar bandar secara lebih terancang dan mampan.
Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit berkata kawasan itu mempunyai pelbagai kekuatan termasuk produk komuniti, pertanian, kraf tangan, budaya, makanan tradisional serta potensi ekonomi masyarakat rumah panjang yang boleh dikembangkan menjadi sumber pendapatan lebih kukuh.
Beliau berkata perkara itu adalah antara dua permohonan yang dikemukakannya kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), selain cadangan mewujudkan sebuah Pusat Komuniti Desa (PKD) di Kanowit.

“PKD membawa konsep ‘Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’ dan berperanan memperkasa masyarakat luar bandar melalui latihan kemahiran, ICT, aktiviti ekonomi, pemerkasaan wanita, perkhidmatan setempat serta sokongan kepada usahawan desa.
“Saya percaya sebuah PKD di Kanowit akan menjadi pusat latihan, pembangunan usahawan, aktiviti belia, pemerkasaan wanita dan pengukuhan ekonomi komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Menalun-Sungai Poi Kanowit Fasa 3 di Menalun Ili, Sungai Poi, Kanowit hari ini.
Aaron ketika mengulas mengenai projek jalan berkenaan berkata Fasa 3 akan meneruskan jaringan jalan sedia ada sepanjang kira-kira 3.63 kilometer sehingga ke sekitar Rumah Jelani, yang dahulunya dikenali sebagai Rumah Umau.
Beliau berkata fasa terdahulu telah menyediakan jaringan jalan sehingga ke kawasan Sekolah Kebangsaan Nanga Menalun dan Klinik Kesihatan Nanga Menalun.

Menurut Aaron, kesinambungan projek itu dijangka memudahkan pergerakan harian penduduk, meningkatkan akses kepada kemudahan asas serta membuka lebih banyak peluang bagi aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
“Pembangunan lain yang sedang dilaksanakan di Kanowit termasuk projek Jalan Nanga Machan/SRK Nanga Manggut Fasa 2 bernilai RM39 juta serta pembinaan Loji Rawatan Air Baharu Kanowit,” katanya.
Aaron berkata pembangunan luar bandar perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi jalan raya, bekalan air, pendidikan, kesihatan, ekonomi dan kemudahan sosial.
“Pembangunan luar bandar bukan pembangunan kelas kedua. Masyarakat di rumah panjang dan kampung juga berhak menikmati kemudahan asas yang baik serta peluang ekonomi yang setara,” katanya.- Bernama




