PAKAN: Projek Jalan Pakan/Ulu Julau/Ulu Kota Pakan (Fasa 2) yang bertaraf R3 Standard sepanjang 15.4KM telah siap sepenuhnya pada 3 Disember 2019 dan telah pun dibuka kepada orang awam.
Menurut kenyataan media dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, projek jalan sepanjang 15.4KM bermula dari Rumah Sigie hingga Rumah Ragai.
“Di antara skop kerja di dalam projek tersebut termasuklah jalan menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sembawang dan SK Nanga Dayu serta empat jambatan konkrit di Sungai Seguk, Sungai Litok, Sungai Dayu dan Sungai Kara.
“Pelaksanaan projek ini akan membuka akses kepada lebih banyak peluang terutama yang berasaskan aktiviti pertanian dan industei asas tani.
“Dengan adanya akses perhubungan darat ke kawasan ini, ia akan membolehkan para petani dan pekebun kecil meningkatkan hasil jualan mereka seterusnya menikmati taraf hidup yang lebih baik,” kata JKR Sarawak.
Selain itu, pembangunan infrastruktur akan mendorong pembukaan lebih banyak kawasan untuk meransang aktiviti perdagangan perkembangan sektor lain di kawasan sekitarnya, sekaligus merancakkan sosioekonomi penduduk setempat.
Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Pakan/Ulu Julau/Ulu Kota Pakan (Fasa 2) telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, semalam.
Oleh Earl Anek