
PETRA JAYA: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam satu kemalangan, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata kejadian berlaku kira-kira 1.30 pagi di Jalan Tun Haji Abdul Rahman Yaakub, di sini.
Menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari arah bulatan Samariang menuju ke bulatan SESCO sebelum dipercayai gagal mengawal motosikal terbabit.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama.
Oleh Connie Chieng