
KUCHING: Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak telah melakukan Ops Gegar pada 17 hingga 18 Mei, semalam.
Serbuan dilakukan di tiga pusat hiburan sekitar Serian, Bau dan Kuching dengan melibatkan kekuatan 18 anggota.
Semasa operasi dijalankan terdapat cubaan oleh individu yang diperiksa untuk melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran premis, namun usaha mereka berjaya digagalkan.
Seramai 71 individu telah diperiksa, hasilnya 46 individu telah ditangkap yang terdiri daripada 42 orang wanita dan 3 orang lelaki warganegara Indonesia manakala seorang lagi wanita warganegara Filipina.
Antara kesalahan yang dikenalpasti termasuk penyalahgunaan pas lawatan, tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa dari tempoh pas yang dibenarkan.
Kesemua warga asing yang ditahan ini ditempatkan Depot Tahanan Imigresen untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Bagi pemilik premis juga dikenakan tindakan dengan diberi notis saman kepada saksi untuk membantu siasatan.