MIRI: Beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat akibat hujan lebat lebih tiga hari tanpa henti, semalam.
Hujan lebat sejak jam 1 petang itu menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat air bertakung di beberapa kawasan rendah.
Antara kawasan yang terjejas termasuk Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Jalan Brooke, Jalan Pujut Padang Kerbau, Jalan Miri-Bintulu dan Jalan Miri-Pujut.
Keadaan bagaimanapun dilaporkan terkawal dan air mulai surut selepas hujan berhenti sekitar jam 4.30 petang.
Selain itu, hujan lebat turut menyebabkan siling di bangunan Dewan Suarah Miri runtuh akibat terkena air hujan yang bocor memasuki bangunan itu.
Bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu dan sepasukan anggota bomba turut berada di lokasi untuk membuat tinjauan bagi memastikan bangunan dewan tersebut selamat digunakan.
Oleh Liong Chai Ling