KUCHING: Tiga individu, termasuk seorang wanita mengandung, mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik ke dalam longkang berhampiran Raia Hotel, Jalan Airport di sini, malam tadi.
Komander Operasi, PBK I Awang Saifull Awang Nusi memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.49 malam.
“Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang bersama sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS dikejarkan ke lokasi sejauh lima kilometer dan tiba pada jam 9.55 malam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Menurutnya, setibanya pasukan di lokasi, didapati kenderaan pacuan empat roda tersebut telah terbabas dan terbalik ke dalam longkang yang dipenuhi air.
“Tiga mangsa terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita mengandung terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.
“Pasukan bomba bertindak memecahkan cermin belakang kenderaan untuk mengeluarkan mereka,” jelasnya.
Ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat dan diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada 10.51 malam.
Oleh Masrin Affirah