MIRI: Kerajaan Sarawak menetapkan sekurang-kurangnya 45 peratus daripada pengeluaran gas dikekalkan di negeri ini, bagi menampung keperluan untuk industri petrokimia.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata Sarawak mempunyai rizab gas asli yang terbesar iaitu meliputi 54 peratus daripada rizab negara.
Oleh itu, katanya, Kerajaan Sarawak telah menetapkan dasar supaya sebahagian daripada pengeluaran gas di Sarawak dikekalkan untuk tujuan sebagai “feedstock” kepada industri petrokimia, khususnya di Tanjung Kidurong, Bintulu.
”Saya amat yakin masa hadapan industri hidrokarbon Sarawak bergantung kepada keupayaan negeri kita dalam memperkasakan industri hiliran gas untuk menghasilkan produk-produk petrokimia.
“Ketika ini, tapak seluas 1,000 ekar di Tanjung Kidurong sedang dibangunkan untuk industri petrokimia bagi menjadikan Bintulu sebagai hub industri petrokimia Sarawak,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Sambutan bertemakan ‘Sarawak Cemerlang’ itu diadakan sempena memperingati hari bersejarah buat warga negeri ini apabila Sarawak telah dberikuasa untuk pemerintahan sendiri oleh Koloni British pada 22 Julai 1963.
Turut hadir pada sambutan tersebut Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerja-kerja untuk membina loji petrokimia pertama kepunyaan Sarawak dengan kos berjumlah RM3.74 bilion di Bintulu untuk menghasilkan methanol sudah pun bermula.
“Ini adalah bukti kesungguhan Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperkasakan industri petrokimia dan menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri pengeluar utama hiliran minyak dan gas,” katanya.
Menurut beliau, beberapa syarikat multinasional antarabangsa telah menyatakan komitmen untuk melabur di dalam industri petrokimia di Bintulu.
“Sebuah syarikat telah mengemukakan perancangan kepada kerajaan untuk melabur sebanyak RM24 billion di Tanjung Kidurong.
“Kerajaan Sarawak akan memastikan perancangan para pelabur ini menjadi kenyataan dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, hub petrokimia Bintulu dijangka akan mampu menjana RM16 billion hingga RM20 billion kepada KDNK tahunan Sarawak dan mewujudkan 74,000 peluang pekerjaan.
“Syarikat minyak dan gas Sarawak atau PETROS yang telah kita tubuhkan akan memainkan peranan yang besar untuk membangunkan industri hiliran sektor gas di negeri ini,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling