
SIBU: Sarawak kini sedang giat melaksanakan kajian bagi memastikan kedalaman sungai kekal dalam usaha menangani isu banjir dan memastikan kelangsungan sumber bekalan air.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkongsi serba sedikit perkembangan projek tebatan banjir di Sarawak terutama di Sibu, termasuk yang kini dalam proses pelaksanaan serta ada yang dalam perancangan.
“Saya juga mengambil peluang berkongsi peranan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang bertanggungjawab memastikan keterjaminan tenaga dan air yang memberi impak kepada sosial dan perkembangan ekonomi negara,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini.
Beliau turut mengingatkan pentingnya rakyat Sarawak terus menjaga perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang meneruskan kepimpinan terdahulu, memperjuangkan hak Sarawak dan memastikan pertumbuhan ekonomi serta pendapatan negeri terus berkembang.
“Pada masa sama, biarpun Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka tahun hadapan, semua yang terlibat tidak seharusnya lalai dan leka.
“Beri perkhidmatan terbaik dan sampaikan maklumat yang tepat kerana perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah yang terbaik untuk Sarawak,” katanya.
Oleh Akun Giman