
KUCHING: Kelab Muay Thai Kenyalang terus mengukuhkan reputasinya dalam arena seni mempertahankan diri tempatan apabila dinobatkan juara keseluruhan Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2025.
Penaung kelab itu, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata ia membuktikan kemampuan atlet muda Sarawak dalam menembusi kejohanan berprestij sekali gus membawa nama negeri ke peringkat lebih tinggi.
“Saya amat bangga dengan semangat dan disiplin yang ditunjukkan oleh atlet Muay Thai Kenyalang. Ini bukan hanya kejayaan sukan, tetapi bukti pembangunan belia yang positif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan tengah hari sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan Kelab Muay Thai Kenyalang, di Batu Kawa, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga akan memberi komitmen berterusan dalam menyokong kelab ini.
“Saya berharap atlet Kelab Muay Thai Kenyalang akan bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan SEA agar atlet tempatan dapat menyerlah di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Untuk rekod, dalam kejohanan Piala TYT 2025, pasukan tersebut berjaya membawa pulang 23 pingat emas, tujuh pingat perak, empat Anugerah Peninju Terbaik, satu Anugerah Khas dan Naib Johan Piala Borneo.
Beliau turut menggesa sektor kerajaan, swasta serta komuniti untuk bersama-sama membangunkan sukan Muay Thai di Sarawak sebagai platform pembangunan sahsiah dan kesejahteraan belia.