
SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei (MDS) telah menganjurkan Kempen Pengumpulan Barang Buangan Elektrik dan Elektronik dan Pembelian Barangan 3R sejak 2022.
Pengerusi MDS, Wong Kei Yong berkata, sehingga kini, kempen ini amat mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk setempat.
“Dari perbandingan yang kita dapati, pada 2022 permulaan kempen ini diadakan, kita hanya mendapat kutipan sebanyak 5,278 kilogram (kg) sahaja.
“Namun, pada 2023 kita teruskan lagi kempen ini dan mendapat kutipan sebanyak 13,369.8 kg, manakala pada 2024 kutipan meningkat kepada 27,954.57 kg dan ini menjadikan peningkatan sebanyak 52 peratus.
“Saban tahun kempen ini semakin dinantikan oleh masyarakat setempat di bandar Sarikei,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Kempen Bee dan 3R Program bertempat di pekarangan MDS, hari ini.
Katanya, antara komponen utama kempen tersebut adalah pembelian barangan buangan elektrik dan elektronik, barangan kitar semula seperti botol plastik, tin minuman, kotak, bekas telur, botol-botol kaca dan apa sahaja yang boleh dikitar semula.
“Minyak masak terpakai juga adalah salah satu pembelian kitar semula yang sangat mendapat sambutan.
“Bagi mengalakan penyertaan, MDS telah memberikan insentif berupa barangan keperluan kepada peserta yang menyertai kempen.
“Usaha kempen ini amatlah penting di mana untuk pengetahuan umum, bahawa barangan buangan e-waste tidak boleh dibuang sebarangan tempat kerana barangan tersebut adalah barang buangan berjadual dan perlu dilupuskan dengan cara yang betul tanpa mencemarkan alam sekitar kita,” katanya.
Tambahnya, barangan plastik juga perlu dilupuskan dengan cara yang betul di mana ia tidak mudah diuraikan.
“Setiap botol yang kita kitar semula, setiap kertas yang kita kumpulkan dan setiap tindakan kecil kita memiliki impak yang besar.
“Tindakan berterusan menjaga alam sekitar ini bukan hanya tentang apa yang kita lakukan hari ini, tetapi bagaimana tindakan kita membentuk masa depan,” katanya.
Kempen tersebut bermula 9.00 pagi dan dijangka tamat pada 4.00 petang ini.
Orang ramai yang ingin menyertai kempen ini dialu-alukan untuk hadir.
Oleh Earl Anek