
SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa yakin Daerah Kecil Engkilili akan terus menikmati pembangunan yang pesat apabila berjaya dinaik taraf kepada daerah penuh tidak lama lagi.
Beliau berkata dengan penaiktarafan itu kelak, segala projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili juga dapat dirancang dengan lebih mudah dan lancar.
“Saya memahami kesukaran dihadapi rakyat di kawasan Engkilili ini. Oleh itu, Engkilili harus dijadikan sebagai sebuah daerah penuh di Bahagian Sri Aman.
“Ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan luar bandar dan bandar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau telah hadir ke Mesyuarat Penyelarasan Menaik Taraf Daerah Kecil Engkilili kepada Daerah Penuh yang dipengerusikan oleh Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh di Pejabat Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA), semalam.
Tambah Rayong, taraf sosioekonomi penduduk di Engkilili sudah tentu akan bertambah baik jika daerah kecil Engkilili dinaik taraf sebagai daerah penuh.
“Syabas dan tahniah kepada Residen Bahagian Sri Aman serta Pegawai Daerah Lubok Antu yang telah berusaha bersungguh-sungguh bagi mempermudahkan permohonan agar Daerah Kecil Engkilili dinaik taraf sebagai daerah penuh dapat direlasikan,” jelasnya.
Oleh Adi Safarman