
KUALA LUMPUR: Menghidap penyakit digeruni seperti kanser boleh membuatkan seseorang melakukan apa sahaja untuk pulih termasuk berpantang makan.
Daging merah, gula, susu serta ayam antara makanan yang dihindari oleh kebanyakan mereka kerana dikatakan mengandungi hormon yang boleh merangsang pertumbuhan sel kanser.
Penularan maklumat tidak tepat ini mencetuskan kebimbangan pakar kesihatan kerana berisiko menghalang pesakit daripada mendapat makanan berkhasiat, sekali gus menjejaskan proses rawatan dan pemulihan mereka.
Bertitik tolak daripada itu, Pink Unity Malaysia di bawah naungan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), tampil dengan buku resipi Heritage & Hope bagi membantu pesakit kanser membuat pilihan lebih bijak.
Presidennya Mahani Kassim berkata buku itu yang menghimpunkan resipi air tangan ibu dan comfort food, memberi penekanan bahawa tidak ada salahnya untuk penghidap kanser menikmati makanan tradisional asalkan dimasak dengan kaedah sihat.
“Kami dapati ramai pesakit dimomokkan dengan mitos dan nasihat yang salah, kononnya tidak boleh makan itu dan ini, sedangkan yang diperlukan ialah makanan seimbang dan sesuai dengan selera. Bagi kami, comfort food ialah masakan ibu, iaitu masakan tradisional,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang ditemui pada majlis pelancaran buku itu di sini baru-baru ini, berkata buku berkenaan yang didatangkan dalam dwibahasa, mengetengahkan resipi warisan Melayu, Cina dan India yang bukan sahaja mengekalkan keaslian rasa hidangan tetapi juga disesuaikan mengikut keperluan pemakanan pesakit.
Buku Heritage & Hope menurut pakar pemakanan NCSM Nurussyahamah Taqiah, dilengkapi panduan dan ulasan pakar pemakanan yang bukan sahaja akan membantu penghidap kanser bahkan memperbetulkan salah faham berkaitan pemakanan dalam kalangan pesakit.
“Kami berharap buku ini menjadi titik permulaan kepada kesedaran bahawa pesakit masih boleh makan seperti biasa, cuma perlu mengikut panduan dan pengambilan yang sederhana. Salah faham ini sering menjejaskan rawatan kerana pesakit kekurangan nutrien,” katanya.
Tidak sekadar naskhah makanan, Heritage & Hope yang turut dihasilkan dengan kerjasama beberapa organisasi sokongan pesakit kanser, turut menarik penglibatan cef selebriti Datuk Cef Ismail Ahmad yang menjadikan masakan sebagai terapi emosi dan spiritual.
Selaku penyumbang utama resipi dalam buku tersebut, Ismail berkata hatinya tertarik untuk bekerjasama dengan Pink Unity Malaysia itu bagi membantu mereka menjana pendapatan demi menampung keperluan dan kebajikan pesakit kanser.
“Makanan ialah kasih sayang dan buku masakan ini cara saya berkongsi kasih sayang itu,” katanya.– Bernama