
LIMBANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Limbang berjaya memusnahkan empat sarang lebah madu bersaiz sebesar bola sepak dalam satu operasi pantas di Kuarters Penjara Limbang, malam kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Kapten (PA) Bonnie Madisun, berkata operasi tersebut mengambil masa kira-kira 15 minit, selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 malam.
“Sepasukan anggota diketuai oleh Koperal (PA) Nurul Najanadhirah Hadri segera digerakkan ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira 13 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Limbang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setibanya di lokasi, sarang lebah tersebut didapati berada di siling bumbung tingkat empat kuarters berkenaan.
“Empat sarang lebah jenis madu berjaya dimusnahkan menggunakan kaedah pengasapan dan semburan racun serangga, yang merupakan prosedur standard operasi kami dalam kes seumpama ini,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak mengambil tindakan sendiri apabila berdepan situasi melibatkan haiwan berbisa atau serangga berbahaya, sebaliknya menghubungi pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut demi keselamatan.
Oleh Adeng Edrus