
SIBU: Semua ahli Parti Demokratik Progresif (PDP) diingatkan agar sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, memperkukuh perpaduan dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan.
Naib Presiden Kanan PDP, Dato Sri Wong Soon Koh, berkata setiap anggota perlu kekal fokus terhadap tanggungjawab kepada masyarakat tanpa membiarkan jawatan atau gelaran mengaburi komitmen mereka.
“Perkhidmatan bukan sekadar soal jawatan atau gelaran, tetapi tanggungjawab dan tindakan. Letakkan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap perkara. Terus berpijak di bumi nyata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Mantar Gawai Dayak 2025 PDP Bawang Assan, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu turut menyeru ahli parti supaya memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan ahli PDP sebagai asas kepada kestabilan politik dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan.
Beliau turut memberi amaran terhadap sebarang bentuk sabotaj dalaman atau persaingan tidak sihat dalam kalangan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Jangan biarkan mana-mana pihak dalam GPS berpaling tadah atau memecahbelahkan sokongan akar umbi. Jika GPS berpecah, kita semua akan rugi.
“Kerjasama dan saling menghormati adalah kunci utama untuk memastikan pembangunan berterusan di Sarawak,” tegasnya.
Tambah beliau, misi PDP termasuk memperjuangkan hak masyarakat Dayak, pembangunan seimbang luar bandar serta memperkasakan rakyat menerusi akses kepada pendidikan, infrastruktur dan peluang ekonomi.
“Rakyat akan mengingati apa yang anda lakukan, bukan hanya apa yang anda ucapkan. Yang paling penting, berkhidmatlah dengan sepenuh hati dan keikhlasan.
“Itulah roh sebenar perjuangan PDP,” katanya lagi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap ADUN Dudong, Dato Sri Tiong King Sing.
Turut hadir ialah ADUN Meluan Roland Duat Jubin, ADUN Krian Friday Belik, Setiausaha Politik Premier Sarawak Joshua Ting, Temenggung Stanley Geramong Bandar, Pengerusi Pengelola Kaunselor Wong Hua, dan beberapa tetamu kehormat lain.
Oleh Akun Giman