
RIYADH: Pasukan perubatan dan pembedahan Program Kembar Siam Arab Saudi berjaya memisahkan kembar dari Eritrea, Asma dan Someya yang bercantum pada bahagian kepala, di Hospital Pakar Kanak-Kanak King Abdullah, Riyadh, kelmarin.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), ketua pasukan perubatan Dr. Abdullah Al Rabeeah berkata prosedur rumit yang berlangsung selama 15 jam setengah itu dijalankan mengikut arahan kepimpinan Arab Saudi oleh pasukan khusus terdiri daripada 36 perunding dan pakar dari pelbagai bidang.
Pasukan itu menggunakan teknologi “neuronavigational” dan mikroskop pembedahan untuk memastikan perancangan yang tepat dan mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi.
Beliau menambah bahawa operasi itu merupakan pemisahan ke-64 yang yang dilakukan di bawah Program Kembar Siam Arab Saudi, yang telah merawat lebih 149 kes dari 27 negara sejak 35 tahun lepas.
Program itu terus mendapat sokongan padu daripada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Perunding pakar bedah saraf pediatrik dan ketua Pediatrik Neurosurgeri Dr. Moutasem Azzubi menjelaskan bahawa kembar berkenaan menjalani penilaian menyeluruh yang mendedahkan percantuman tulang tengkorak, membran otak, urat dan beberapa arteri.
Proses pemisahan dijalankan secara berperingkat, bermula dengan pembedahan awal diikuti tiga prosedur radiologi intervensi bagi menyekat arteri dan urat yang dikongsi.
Pasukan bedah plastik pediatrik turut memasukkan pengembang tisu di bawah kulit untuk meregangkan kulit dalam beberapa bulan bagi memastikan penutupan kulit mencukupi selepas pemisahan.
Keluarga pasangan kembar itu menzahirkan penghargaan tulus kepada kepimpinan Arab Saudi kerana merealisasikan prosedur yang menyelamatkan nyawa itu serta memastikan anak mereka mendapat rawatan perubatan terbaik.
Mereka turut memuji usaha kemanusiaan Kerajaan Arab Saudi dan mengucapkan terima kasih atas layanan mesra yang diberikan sepanjang berada di negara itu. – Bernama – SPA