
KUALA LUMPUR: Pemandu Mercedes-AMG Petronas Formula One Team Kimi Antonelli mengadakan lawatan ke Pusat Penyelidikan dan Teknologi Global (R&T) Petronas di Turin, Itali pada Rabu lepas, dalam usaha memahami aspek teknikal berkaitan operasi dan inovasi syarikat berkenaan.
Petronas dalam kenyataan hari ini memaklumkan Antonelli dibawa melawat pusat berteknologi tinggi itu dan diberi penerangan mengenai teknologi terkini serta keupayaan teknikal yang menjadi tulang belakang kejayaan pasukan di litar perlumbaan.
Antonelli berkata pengalaman menyaksikan sendiri tahap ketelitian, inovasi dan kerjasama pasukan di sebalik tabir memberikan perspektif baharu terhadap kepentingan bahan api dan minyak pelincir dalam membantu prestasi pasukan.
“Saya dapat melihat betapa tinggi semangat dan kepakaran yang diberikan untuk menyokong kami di litar. Sebagai seorang pemandu, ia memberikan keyakinan besar kepada saya. Saya bangga menjadi sebahagian daripada kerjasama ini dan teruja untuk terus maju bersama pasukan,” katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International (PLI) Khalil Muri berkata lawatan pemandu muda kelahiran Itali itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan peranan penting Petronas dalam memacu inovasi dan kelestarian menerusi kerjasama dengan Mercedes-AMG Petronas Formula One Team.
Lawatan Antonelli itu diadakan menjelang Grand Prix Emilia Romagna di Litar Imola hujung minggu ini, hanya beberapa kilometer dari kampung halamannya di Bologna. Perlumbaan itu akan menjadi penampilan sulung Antonelli di tanah air sendiri dalam perlumbaan Formula Satu.
Antonelli, yang memulakan musim sulung bersama Mercedes-AMG Petronas Formula One pada musim ini, kini berada di kedudukan keenam keseluruhan dalam kategori pemandu 2025 selepas mengumpul 48 mata.
-Bernama