KUCHING: Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kho Teck Wan ingin tahu perkembangan dan keputusan kajian yang dibuat berkenaan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Beliau berkata, isu pengiktirafan UEC telah menjadi satu topik perdebatan politik yang sensitif terutama di kalangan masyarakat Cina tanpa mengira parti yang mentadbir negara di peringkat persekutuan.
“Ramai pemimpin DAP di Sarawak menyalahkan SUPP kerana kerajaan Perikatan Nasional di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mengiktirafnya.
“Tetapi pemimpin ini lupa hampir 100% pengundi di kawasan bandar telah mengundi mereka untuk menjadi suara di Parlimen dalam PRU14 yang lalu.
“Pemimpin DAP ini mempersendakan SUPP supaya memperjuangkan pengiktirafan UEC di Parlimen,” kata Kho.
Bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, kata Kho, telah mengiktiraf UEC pada tahun 2016.
Pengiktirafan ini, kata Kho, telah menjadi satu legasi Allahyarham Adenan dan beliau dihormati oleh semua masyarakat Cina.
“Ketua Menteri sekarang telah meningkatkan peruntukan kewangan kepada sekolah persendirian Cina dan ini menunjukkan kerajaan GPS bertimbang rasa dan mempunyai pandangan jauh tidak seperti negeri-negeri lain,” kata Kho.
Beliau berkata kerajaan harus melihat kepada fakta bahawa ramai pelajar yang berkelulusan UEC diambil oleh university terkemuka antarabangsa di luar negeri menerusi biasiswa yang ditawarkan.
“Sudah tiba masanya bagi negara ini mengikut dasar Sarawak untuk mengiktiraf UEC.
“Semua ahli politk harus faham kekuatan sesebuah negara adalah kerana kepelbagaian yang sedia ada dan ia bukanlah satu ancaman,” kata Kho.