
LAWAS: Sektor pelancongan berasaskan agro dijangka menjadi satu lagi inisiatif penting dalam menyokong pembangunan industri pelancongan di seluruh Sarawak.
Pelbagai produk agro dari selatan hingga ke utara Sarawak berpotensi untuk membentuk pakej pelancongan yang menarik, sekaligus memikat pelancong tempatan dan antarabangsa untuk berkunjung serta berbelanja di negeri ini.
Menurut Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, antara produk yang mampu menjadi tarikan ialah keju Mozarella yang dihasilkan daripada susu kerbau di Lawas.
“Kita merancang untuk menjadikan kawasan ini sebagai destinasi agro pelancongan dalam jangka masa sederhana dan panjang. Lawas berpotensi dikenali sebagai pengeluar keju Mozarella daripada susu kerbau terbesar di Asia Tenggara,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Stesen Penternakan Kerbau di Meragang, Lawas, hari ini.
Tambah beliau, kawasan Meragang bakal menjadi tumpuan pelancong apabila berkunjung ke Lawas, seiring dengan usaha membangunkan Gunung Buda di Limbang sebagai tarikan pelancongan.
“Ini sebahagian daripada usaha membangunkan Sarawak secara menyeluruh sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam dan agro,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penghasilan keju Mozarella daripada susu kerbau akan memberikan manfaat ekonomi kepada penternak tempatan melalui penjualan susu terus ke kilang pemprosesan.
Stesen Penternakan Kerbau Meragang di Merapok, Lawas, dilengkapi dengan kemudahan kilang pemprosesan keju, kawasan ragutan berkapasiti lebih 1,000 ekor kerbau, kedai runcit, serta mesin untuk menghasilkan aiskrim berasaskan keju Mozarella.
Oleh Adeng Edrus