
MIRI: Bandar Raya Miri dipilih sebagai tuan rumah Karnival Sukan Media Sarawak (KASUMeS) Zon Utara 2025, bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Sarawak yang dijadual berlangsung pada Jun ini.
Pemilihan tersebut diumumkan dalam mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Joachim Paggang Jabong di Bilik Mesyuarat Pejabat Perbendaharaan Negeri Sarawak Bahagian Miri, semalam.
Penganjuran ini merupakan inisiatif UKAS bagi merapatkan hubungan antara pengamal media, agensi kerajaan dan komuniti tempatan menerusi platform sukan dan gaya hidup sihat.
Edisi kali ini menampilkan dua acara utama iaitu pickleball dan dart.
Bagi acara pickleball, pertandingan akan diadakan dalam empat kategori: beregu jemputan, beregu campuran, beregu lelaki dan beregu wanita.
Sementara itu, acara dart mempertandingkan kategori perseorangan lelaki dan wanita.
Selain penyertaan pengamal media daripada Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dan rakan strategik UKAS seperti Unit Keselamatan dan Pemantauan Sarawak (UKPS), Jabatan Penerangan Daerah Miri, dan RTM Miri, acara ini turut dimeriahkan dengan Konvoi KASUMeS.
Konvoi ini melibatkan lima kelab permotoran tempatan iaitu Permaisuri Riders Miri Group, Miri Riders Moto Club, Santai Bikers Team Bekenu, Brother Bikers Miri Club, dan MYY Maxi Scooter Motor Club.
Menurut Joachim, pelaksanaan KASUMeS bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi wahana penting dalam membina jalinan kerjasama berterusan antara UKAS, pengamal media dan agensi strategik lain demi memperkasa penyampaian maklumat dasar kerajaan kepada rakyat secara berkesan.
Mesyuarat berkenaan turut disertai oleh Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pengurusan Komunikasi UKAS, Wilma Stanley Geramong yang membentangkan pelan pelaksanaan program.
KASUMeS Zon Utara merupakan antara pengisian awal menjelang sambutan HAWANA 2025, iaitu acara tahunan terbesar yang meraikan sumbangan pengamal media di Malaysia.
Dalam perkembangan sama, UKAS menegaskan komitmennya untuk terus menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) dengan memperkukuh peranan media sebagai ejen pembangunan masyarakat bermaklumat dan progresif.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pegawai UKAS Bahagian Miri Dayang Norazelina Hamdan, Pegawai Penerangan Daerah Miri Aidawatie Mustapha, dan Presiden NSJA Chai Chon Chin.
Oleh Adum Liu