
SARATOK: Program Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Tingkatan Enam peringkat Bahagian Betong dilihat sebagai landasan kukuh dalam membina individu yang berdikari pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata penglibatan pelajar dalam program perkhemahan juga dilihat mampu mendidik mereka lebih berdikari selain menjadi asas dalam menyemai nilai murni dan disiplin diri.
“Program seperti ini juga mampu mengasah kemahiran kepimpinan dan semangat kerjasama dalam kalangan murid, malah dapat memupuk semangat perpaduan dan cintakan tanah air.
“Oleh itu, inisiatif seperti ini haruslah diteruskan dan diperluaskan agar kita mampu melahirkan lebih ramai anak didik yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.
“Sekali gus merealisasikan impian sekolah iaitu cemerlang dari segala aspek dan bersama-sama berusaha menggapai impian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Tingkatan Enam peringkat Bahagian Betong di Tapak Perkhemahan Kolej Tingkatan Enam Saratok, semalam.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Majid Amit Zainuddin.
Mohamad Duri berkata sikap tanggung jawab, disiplin diri dan semangat setiakawan yang dibentuk melalui aktiviti seperti ini pastinya akan menjadi bekalan yang amat bernilai untuk masa depan.
“Kita mengharapkan semua pelajar telah mendapat input baharu sepanjang program perkhemahan ini untuk diaplikasikan dalam pembelajaran harian dan masa depan pelajar,” katanya.
Beliau turut menaruh penuh harapan agar melalui penganjuran seperti ini akan melatih kekuatan fizikal dan mental para peserta dengan harapan semoga program seperti ini akan terus dianjurkan demi manfaat kepada peserta terutamanya penuntut Tingkatan Enam sekitar Bahagian Betong.
Oleh Adi Safarman