
SIBU: Majlis Pelancaran Fasad Baharu dan Pengubahsuaian Dalaman Menara Rimbunan Hijau hari ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha kerajaan Sarawak untuk mentransformasi ekonominya ke arah yang lebih lestari dan berdaya saing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ekonomi negeri itu dijangka terus berkembang pesat, dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi lima peratus pada 2025.
Katanya, pertumbuhan ini akan didorong oleh pelaburan strategik dalam sektor infrastruktur, teknologi hijau dan inovasi digital sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pembangunan mampan dan kemakmuran rakyat.
“Peruntukan negeri sebanyak RM15.8 bilion untuk pembangunan mencerminkan hasrat kuat kerajaan Sarawak untuk mempertingkatkan perkhidmatan awam, mendorong kemajuan yang saksama dan memastikan kesejahteraan berpanjangan,” ujarnya dalam teks ucapan dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada majlis berkenaan, hari ini.
Abang Johari turut mengalu-alukan peranan aktif Kumpulan RH dalam menyokong agenda pembangunan negeri melalui pelaburan semula dan pemodenan berterusan yang menurutnya selari dengan momentum transformasi ekonomi yang sedang dipacu di seluruh Sarawak.
“Yang sama penting ialah cita-cita kita untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa besar ASEAN dalam tenaga bersih.
“Kami berhasrat untuk menjana sehingga 15 gigawatt tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035 melalui hidroelektrik, ladang solar terapung dan pengeluaran hidrogen,” katanya.
Beliau menambah, peralihan ke arah ekonomi hijau bukan sahaja satu keperluan alam sekitar tetapi juga peluang strategik untuk memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam kelestarian global.
“Saya berharap lebih banyak syarikat akan turut serta dalam usaha ini untuk membekalkan industri kita dengan tenaga bersih dan memperkukuhkan kepimpinan Sarawak dalam kelestarian global,” katanya.
Majlis pelancaran itu turut menandakan komitmen Kumpulan RH untuk terus meningkatkan piawaian dalam amalan lestari, kesejahteraan pekerja dan pengembangan pasaran global.
“Semoga ruang yang diperbaharui ini menjadi pemangkin kepada kerjasama, kreativiti dan kejayaan yang lebih besar pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Rimbunan Hijau, Datuk Tiong Thai King
Oleh Tarani Lanting