
KABONG: Kerjasama semua pihak memainkan peranan yang sangat penting dalam memerangi gejala sosial terutama melibatkan penyalahgunaan dadah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata bagi memastikan ia dapat diperangi, kerjasama semua pihak termasuk diperingkat komuniti dan juga badan bukan kerajaan (NGO) adalah penting bagi memerangi musuh nombor satu negara itu.
Katanya, usaha giat yang terus dilaksanakan kerajaan adalah bertujuan memastikan generasi pelapis tidak terjebak dalam gejala sosial yang merugikan kerana ia jelas menjejaskan pelbagai aspek.
“Kerjasama dan penglibatan komuniti secara holistik bersama pemimpin masyarakat, jabatan-jabatan, NGO, keluarga dan pihak yang bertanggungjawab ini penting bagi memastikan usaha membanteras dadah berjaya.
“Menyedari peranan belia kepada pembangunan negara, usaha memerangi penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat wajar dipergiatkan lagi. Oleh itu, kerjasama bukan sahaja penting tetapi juga keakraban di antara masyarakat setempat bagi memupuk sikap prihatin dalam kalangan komuniti bagi membanteras penyalahgunaan bahan terlarang di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Kabong semalam.
Chee Kadir berkata penglibatan berterusan perlu diteruskan oleh pihak PEMADAM dan juga Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersama dengan warga sekolah serta pihak NGO dalam menganjurkan pelbagai program kesedaran penyalahgunaan dadah kepada belia terutama di negeri ini.
“Masyarakat di sini juga diminta tidak meletakkan tanggung jawab membanteras penyalahgunaan dadah di bahu agensi kerajaan dan pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya usaha memerangi musuh utama negara itu harus melibatkan semua pihak khususnya pemimpin-pemimpin akar umbi.
“Usaha membanteras dan memerangi najis dadah yang diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara hendaklah dilakukan secara serius. Jadi peranan pemimpin-pemimpin masyarakat di peringkat kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua masyarakat, ketua kaum serta tuai rumah amat penting dalam usaha ini,” ujar Chee Kadir.
Turut hadir ialah ADUN Kalaka, Mohamad Duri dan Pegawai Daerah Kabong merangkap Pengerusi PEMADAM Daerah Kabong, Tahir Sharee.
Oleh Adi Safarman