
BINTULU: Sambutan Gawai harus diraikan dengan penuh kesyukuran dan berpandukan kemampuan diri, bukan dengan berbelanja berlebihan yang boleh membebankan kewangan keluarga.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, masyarakat Dayak dinasihatkan agar mengutamakan keperluan dan mengelakkan pembaziran dalam membuat persiapan perayaan.
“Gawai sememangnya perlu disambut, namun biarlah secara sederhana dan mengikut kemampuan sendiri.
“Kebiasaannya sambutan diadakan di rumah panjang pada 31 Mei hingga 3 Jun, jadi saya menyarankan agar kita tidak berbelanja secara berlebihan.
“Ini kerana, selepas Gawai, anak-anak akan melanjutkan pelajaran ke universiti dan kos pendidikan sekarang semakin tinggi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar masyarakat menjaga tingkah laku semasa sambutan dan mengelakkan perbuatan seperti mabuk melampau yang boleh menjejaskan keharmonian komuniti.
“Raikanlah Gawai dengan penuh kesedaran terhadap tujuan asalnya sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian dan simbol perpaduan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Pra Gawai 2025 anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kakus, malam tadi.
Oleh Carolyne Utih