
Faridah bergambar bersama penerima anugerah sempena Sambutan Hari lbu Peringkat Kebangsaan 2025 kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah di SICC. - Ihsan Jabatan Penerangan Sabah
KOTA KINABALU: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 31, menjadi penerima Anugerah Ikon Ibu Muda sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Anugerah berbentuk sijil, selempang dan sejambak bunga itu disampaikan isteri kepada Yang di Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin dan disaksikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dan isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabeela Awang Astillah ketika ditemui, berkata pada mulanya beliau berasa seperti tidak percaya apabila dimaklumkan menjadi penerima anugerah itu.
“Pada awalnya, saya macam tidak percaya jadi saya tanya pada pengurusan, mereka mengatakan memang betul saya diberi anugerah (Ikon Ibu Muda). Saya cukup gembira dan ia perasaan yang tidak dapat digambarkan.
“Sudah tentu saya rasa lebih ramai yang layak (menerima anugerah itu) tapi mungkin ini rezeki saya dan juga anak-anak. Saya betul-betul ‘speechles’ (kehilangan kata-kata) dan mengharapkan semoga saya menjadi ibu yang baik selepas ini.
“Saya percaya saya pun pasti banyak kekurangan dan tidak sempurna sebagai seorang ibu, tapi dengan adanya penghargaan seperti ini, sudah tentu saya mahu buat yang terbaik untuk menjadi ibu terbaik.
“Semangat yang saya dapat untuk meneruskan kehidupan sebenarnya daripada anak-anak saya juga,” katanya.