
KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua baharu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan PERKIM Kali ke-64 yang berlangsung di sini, hari ini.
Beliau menggantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah menerajui jawatan tersebut sejak 2006.
Dalam mesyuarat sama, Tun Dr Mahathir turut dilantik sebagai Penasihat Khas PERKIM.
Dalam ucapan balas semasa Upacara Khas Penyerahan Kepimpinan Baharu PERKIM, Abang Johari merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan, dan berikrar akan memikul tanggungjawab tersebut dengan penuh dedikasi.
Beliau turut mengiktiraf kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai pemangkin kejayaan PERKIM sehingga ke tahap yang membanggakan, menjadi teladan dalam perjuangan dakwah dan kebajikan.
“Meneruskan legasi yang ditinggalkan ini bukan satu tugas mudah.
“Namun, dengan sokongan padu daripada semua peringkat, saya yakin kita mampu memperkasakan lagi peranan PERKIM dalam landskap dakwah moden,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran semasa, beliau menekankan keperluan PERKIM untuk kekal lantang dan aktif memperjuangkan nasib umat Islam, terutamanya dalam isu global seperti konflik di Gaza.
“Pada hemat saya, PERKIM harus terus vokal dan proaktif dalam menyatakan pendirian serta membela saudara seagama melalui pendekatan yang berkesan dan berhemah,” ujar beliau.
Dalam konteks tempatan, beliau menegaskan pentingnya pendekatan yang lebih inklusif, berteraskan kasih sayang, pendidikan dan kesedaran berterusan dalam usaha mendekati masyarakat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Naib Yang Dipertua PERKIM Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, serta ahli-ahli Majlis Tertinggi PERKIM.