Anwar mahu runding semula dengan Loke berhubung peletakan jawatan menteri pengangkutan

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Bernama

MELAKA, 12 November: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengadakan rundingan semula dengan Anthony Loke berhubung keputusan Ahli Parlimen Seremban itu untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Anwar berkata, beliau belum membuat keputusan berhubung surat peletakan jawatan Loke yang diterimanya sebelum ini.

“Ya, memang saudara Loke ada menulis surat kepada saya untuk meletakkan jawatan serta-merta, tetapi saya sebagai Perdana Menteri belum menerima peletakan jawatannya.

“Jadi, ketika ini, dia mahu bercuti seketika, okey. Tetapi, peletakan jawatan itu perlu dirunding semula,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Jelajah PH, Melaka Rumah Kita di Bukit Baru, di sini hari ini.

Anwar berkata Loke mempunyai rekod pentadbiran yang bersih dan amanah, selain bekerja keras membawa pelbagai inisiatif di Kementerian Pengangkutan demi manfaat rakyat.

“Kita lantik (Loke) sebagai menteri, jawatan itu satu amanah. Beliau bersih dan bekerja keras. Beliau mengemukakan banyak cadangan, projek dan program untuk memudahkan perjalanan rakyat serta membantu pemandu teksi.

“Beliau antara menteri yang paling kuat bekerja dan diterima baik oleh pegawai kementerian. Sebab itu saya kata, orang seperti ini yang baik disuruh berhenti, manakala yang teruk disuruh kekal. Apakah dunia ini sudah terbalik?” katanya.

Loke pada Selasa memaklumkan bahawa peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028. – Bernama