
SARATOK: Kecemerlangan yang dicapai pada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok telah berjaya mengharumkan nama Daerah Saratok amnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata sememangnya keputusan tersebut adalah sangat membanggakan apabila peratus layak menerima sijil (peratus lulus) 92.95 peratus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) adalah 4.95 mata.
“Pencapaian luar biasa SMK Bahasa Malaysia Saratok dalam peperiksaan SPM 2024 adalah satu cabaran yang harus ditempuh masa depan pelajar lain untuk mengekalkannya sekali gus menambah baik keputusan SPM oleh pelajar sekolah ini.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen, dedikasi dan kerjasama erat antara guru, pelajar, pentadbir sekolah serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan komuniti setempat,” katanya semasa menghadiri Majlis Penghargaan Inisiatif Cemerlang SPM 2024 yang diadakan di sekolah tersebut hari ini.
Pada majlis tersebut Mohamad Duri turut menyampaikan inisiatif kepada lima orang pelajar terbaik SPM SMK Bahasa Malaysia Saratok sambil disaksikan oleh ibu bapa penjaga masing-masing.
“Saya sangat bangga dengan anda semua. Saya mahu setiap pelajar mengingati perkara ini, setiap pencapaian penting, dan setiap usaha adalah penting. Apa yang paling penting ialah komitmen anda untuk belajar dan keazaman anda untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” jelasnya.
Mohamad Duri turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah, para guru dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membentuk kecemerlangan pelajar.
Beliau berharap inisiatif ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi juga menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk terus berusaha dan yakin bahawa setiap usaha mereka dihargai.
“Kepada yang menerima inisiatif ini, tahniah atas kejayaan anda dan ini hanyalah permulaan. Teruskan berusaha dan jangan cepat berpuas hati. Bagi yang belum berjaya, jadikan pengalaman ini sebagai motivasi untuk bangkit dan mencipta kejayaan pada masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu seramai lima orang pelajar yang telah mendapat A penuh iaitu Nur Amira Supian (5A+ 3A 1A-), Clement Teng Shiaw Choon (2A+ 6A 2A-), Muhammad Muizzuddin Iman Azman (3A+ 3A 3A-), Darnisha Jane Desmond (7A 2A-) dan Muhamad Danial Izzat Zamaludin (4A 4A-).
Oleh Adi Safarman