
SERDANG: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abg Hipni, telah menghadiri Majlis Pelancaran Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung di MAEPS, di sini.
Kehadiran beliau adalah atas jemputan rasmi daripada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Kehadiran Timbalan Menteri ke acara berprestij ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan teknologi automotif hijau dan mobiliti mampan.
Malaysia Autoshow 2025 mengetengahkan pelbagai inovasi terkini dalam industri automotif.
Ini termasuk Kenderaan Sel Bahan Api Hidrogen (FCEV), Kenderaan Elektrik Bateri (BEV), teknologi pintar, serta penyelesaian lestari yang selari dengan agenda nasional, dan negeri ke arah peralihan tenaga bersih serta pembangunan ekonomi rendah karbon.
Dalam ucapannya menerusi satu kenyataan hari ini, Hazland turut merakamkan penghargaan kepada MARii dan para penganjur atas kejayaan menganjurkan pameran berskala besar ini yang berjaya menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar dan pengguna akhir dalam memperkukuh ekosistem automotif negara.
Sarawak, ujarnya, sebagai antara negeri peneraju dalam agenda tenaga boleh diperbaharui, terus komited memperluaskan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi mempercepatkan pembangunan teknologi hijau yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.