
KABONG: Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan melainkan individu itu berusaha gigih mencapai matlamatnya menjadi seorang yang berjaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata kejayaan pelajar yang disaksikan hari ini adalah hasil daripada usaha gigih para pendidik yang bertungkus-lumus membimbing anak-anak menuntut ilmu.
Katanya, tanpa sokongan serta kerjasama daripada ibu bapa juga tidak mungkin dapat melahirkan modal insan yang cemerlang dalam pelbagai aspek.
“Kerjasama ini secara tidak langsung menterjemahkan kepada pendidikan berkualiti dalam usaha melahirkan pelajar cemerlang dalam kokurikulum dan kurikulum bagi menyediakan generasi pelapis yang berupaya meneruskan kesinambungan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kesyukuran dan Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong, malam tadi.
Chee Kadir berkata penganjuran majlis yang diadakan itu diyakini dapat memberi dorongan serta motivasi kepada pelajar lain supaya terus bekerja keras bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang di masa akan datang.
“Majlis seperti ini bukan sahaja menandakan kesyukuran atas segala nikmat dan kejayaan yang telah dicapai, malah merupakan penghargaan kepada anak-anak pelajar kita yang telah berusaha dengan gigih dalam menghadapi peperiksaan SPM yang lalu.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada SMK Kabong di atas kejayaan cemerlang dalam keputusan SPM 2024 yang menunjukkan kemajuan yang positif dan membanggakan.
“Ini adalah hasil daripada komitmen, dedikasi dan kerjasama erat antara guru, pelajar, pentadbir sekolah serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan komuniti setempat,” ujarnya.
Chee Kadir menambah kejayaan ini bukan sahaja menjadi penanda aras baharu untuk SMK Kabong, malah membuktikan bahawa dengan usaha gigih dan semangat yang tidak pernah luntur, kejayaan pasti menjadi milik kita.
Pada majlis juga, beliau telah menyampaikan insentif berupa wang tunai dan juga komputer tablet (iPad Apple) kepada 20 orang pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang SPM 2024 bagi tujuan melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.
Turut hadir ialah Datin Meryani Yassin, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kabong, Noor Azrinawati Marsit, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Laksamana Bakar, guru-guru dan ibu bapa pelajar yang diraikan.
Oleh Adi Safarman