NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu akur dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya pihak terbabit memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, walaupun wabak Covid-19 di negeri ini masih dalam keadaan terkawal namun Sarawak mesti akur dengan keputusan pihak tertinggi.
“Keadaan di Sarawak dibawah kawalan, dalam erti kata lain kita masih dapat mengawal penularan virus ini.
“Tetapi, kita mesti mematuhi keputusan MKN,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Keselamatan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Ditanya mengenai adakah Sarawak akan terus mengikut arahan MKN atau situasi tertentu menggunakan inisiatif sendiri, Abang Johari menjelaskan apa yang berlaku sekarang adalah Kerajaan Sarawak akan menghantar laporan dan input kepada MKN yang mana beliau sendiri menghadirinya atau menghantar Timbalan Ketua Menteri ke sana.
“Hal ini kerana, di sana sentiasa ada mesyuarat dan melalui Timbalan Ketua Menteri itu nanti, kita akan memaklumkan mengenai keadaan kita di Sarawak.
“Tapi buat masa ini, keadaan masih dalam keadaan baik,” tambahnya.
Fasa kedua PKP berakhir pada Selasa depan dan sama ada ia dilanjutkan lagi bergantung kepada data Covid-19 yang dikumpulkan pada hari ini (10 April).