
ASAJAYA: Seramai 25 peserta, terdiri daripada 18 qari dan tujuh qariah, menyertai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Asajaya 1446H/2025M yang berlangsung di Masjid Silaturahim, Kampung Iboi Laut, Sadong Jaya bermula semalam.
Majlis yang berlangsung selama dua hari sehingga hari ini menyaksikan penyertaan peserta dari sekitar Daerah Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya bagi kategori Tilawah al-Quran.
Turut hadir memeriahkan majlis pembukaan ialah Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan Bahrin Kawi, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang, Pemanca Masyarakat Melayu Asajaya/Sadong Jaya, Sholeh Kemis, serta Pengerusi Masjid Silaturahim, Mohammad Ali Adenan.
Bacaan ayat-ayat suci al-Quran bermula seawal 2.00 petang dan diteruskan sehingga ke malam, melibatkan kesemua peserta yang mengambil bahagian.
Majlis penutupan dijadual berlangsung pada malam ini dan akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur Sarawak), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Beliau turut dijadualkan menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi kategori qari dan qariah.