
SIMANGGANG: Seramai 10 orang Ketua Kaum dari Daerah Sri Aman telah menerima watikah pelantikan bagi tahun 2025 dalam satu majlis rasmi yang berlangsung meriah di sini, semalam.
Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Dayang Noorazah menerusi ucapannya, berkata pelantikan semula ini merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan penting para Ketua Kaum dalam memimpin dan membangunkan komuniti masing-masing.
Para pemimpin, ujarnya, disaran terus berkhidmat dengan penuh komitmen dan dedikasi demi kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
“Syabas dan tahniah kepada semua Ketua Kaum yang dilantik.
“Saya berharap mereka dapat terus memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, di samping menjaga keharmonian dan perpaduan dalam komuniti,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, wakil Pejabat Daerah Sri Aman Sandin Ajah, serta pemimpin masyarakat ternama seperti Ayahanda Temenggong Mohamad Shah Achang, Ayahanda Pemanca Abang Norin Abang Norudin, dan Ayahanda Penghulu Rosli Ana.