
BINTANGOR: Seramai 21 pasukan belia tempatan menyertai Pertandingan Futsal Kelab Belia Pekan Bintangor (KBB) Edisi Raya 2025 di Gelanggang Futsal Taman Bintang, baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Belia Pekan Bintangor (KBB) tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada belia sekitar Meradong, memperlihatkan kesatuan dan semangat kesukanan yang membanggakan dalam kalangan generasi muda.
Hadir bagi merasmikan kejohanan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, melalui pertandingan seperti ini, para belia bukan sahaja bersukan, tetapi turut mengasah daya tahan mental dan fizikal serta membentuk nilai penting dalam kehidupan bermasyarakat.
“Saya menyokong penuh inisiatif ini kerana ia menyediakan ruang positif untuk belia melibatkan diri dalam aktiviti sihat yang menyemai disiplin dan kepimpinan.
“Saya berharap kejohanan seperti ini dapat diteruskan secara konsisten dan lebih besar skalanya agar dapat memupuk semangat perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak muda Meradong,” katanya.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha KBB, beliau telah menyumbangkan Geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM2,500 bagi menjayakan penganjuran edisi kali ini.
Pertandingan Edisi Raya ini bukan sahaja mencungkil bakat sukan futsal, malah menjadi medium interaksi sosial yang memperkukuh jaringan komuniti serta memperlihatkan potensi besar yang dimiliki belia Meradong.
Turut hadir Pengerusi Kelab Belia Pekan Bintangor (KBB), Nur Ashikin Pohji.
Oleh Earl Anek