
SELANGAU: Program Perkasa Komuniti yang diadakan di Rumah Empera Bunsu, Sungai Wong Atas, Ulu Mukah semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk rumah panjang sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin.
Program yang dianjurkan bagi memperkasa komuniti luar bandar itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penganjuran program seumpama itu dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat terhadap pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan dalam bidang pendidikan, pertanian, perkhidmatan veterinar dan pembangunan ekonomi.
“Antara pengisian utama program termasuk ceramah motivasi pendidikan oleh pensyarah kanan universiti awam, ceramah perkhidmatan veterinar serta ceramah oleh pihak RISDA,” katanya.
Selain itu, program turut dimeriahkan dengan demonstrasi pemadaman kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangau, demonstrasi cantuman pokok durian Musang King serta Pertandingan Futsal Piala YB Ir. Christopher Gira dan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik.
Menurut beliau, kawasan Ulu Mukah kini menikmati pelbagai kemudahan asas hasil pelaksanaan projek pembangunan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti jalan raya, elektrik dan capaian Internet.
“Perancangan masa depan merangkumi pembinaan jalan raya baharu dari Rumah Seli ke Rumah Merom di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan, serta dari Rumah Merom ke Nanga Woh di bawah agensi MiRRDA,” katanya.
Beliau berkata, MiRRDA juga akan menyalurkan bantuan penanaman kelapa sawit seluas lima hektar bagi setiap isi rumah sebagai langkah meningkatkan pendapatan penduduk.
Dalam pada itu, Gira turut mencabar setiap rumah panjang agar melahirkan sekurang-kurangnya seorang jutawan, menyambung aspirasi mendiang Tan Sri Celestine Ujang yang pernah menggesa agar setiap rumah panjang melahirkan sekurang-kurangnya seorang graduan.
Program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasa komuniti luar bandar agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri dan negara.
Turut hadir Penghulu Busang, Penghulu Christopher Chat, Penghulu Thomas Jawa, para tuai rumah serta penduduk setempat.
Oleh Tarani Lanting