
KUCHING: Pertubuhan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) terus memperkukuh fungsinya sebagai platform utama memperkasakan wanita dalam pelbagai aspek, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.
Menurut Pengerusi Negeri PPWS, Dato Norhyati Mohd Ismail, sambutan Hari PPWS tahun ini membawa makna besar dalam menyatukan tenaga wanita ke arah pembangunan mampan.
“Tema Hari PPWS tahun ini, ‘PPWS: Wadah Wanita, Tonggak Kelestarian’, membawa maksud yang besar dalam memastikan kita terus memainkan peranan utama dalam pembangunan negeri.
“Sama ada dalam bidang ekonomi, latihan, pendidikan atau kesihatan, kita mahu wanita diberikan peluang membangun diri agar lebih berdaya tahan.
“Kejayaan wanita dalam pelbagai bidang membuktikan kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sesiapa sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis Mesra Sempena Hari PPWS 2025, hari ini.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk menjadikan aspek kelestarian sebagai elemen teras dalam setiap inisiatif PPWS.
“PPWS perlu bersedia hadapi perubahan lanskap sosial dan ekonomi terutamanya dalam tempoh selepas pandemik.
“Kita ingin wanita Sarawak tampil lebih aktif dan berperanan dalam masyarakat secara inklusif, melangkaui peranan tradisional.
“Dalam apa jua peringkat sama ada dari kampung hingga ke negeri, kita mahu suara dan sumbangan wanita mesti diangkat,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa majlis Mesra Hari PPWS 2025 bukan sekadar meraikan pencapaian tetapi menjadi ruang menyusun langkah strategik ke hadapan.
“Ini adalah ruang untuk kita dengar suara akar umbi dari cawangan hingga ke negeri dan bentuk dasar berdasarkan keperluan sebenar komuniti.
“Kita mahu ahli PPWS celik kepada keperluan semasa, lebih peka dengan isu digital, perubahan cuaca dan pembangunan lestari.
“Kita bukan lagi sekadar bergerak atas semangat kekitaan tetapi atas dasar kepimpinan dan keupayaan sebenar wanita,” ujarnya.
Sambutan kali ini turut dijadikan platform melakar pelan tindakan program ke arah 2027, sejajar dengan Pelan Strategik PPWS Negeri Sarawak.
Acara yang berlangsung di Ibu Pejabat PPWS itu menghimpunkan lebih 70 ahli termasuk Penasihat PPWS, Dato Hajah Rugayah Abdul Majid dan Ahli-Ahli Seumur Hidup PPWS.
Oleh Masrin Affirah