
LOS ANGELES: Seorang juruterbang maut apabila sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan perumahan di Selatan California hari ini, lapor Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.
Menurut stesen KABC-TV, nahas berlaku sekitar 1.51 petang waktu tempatan (2051 GMT) berhampiran blok 200, High Meadow Street di Simi Valley, kira-kira 64 kilometer barat laut pusat bandar Los Angeles.
Pesawat itu melanggar dua struktur bangunan dan mengakibatkan kebakaran.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat memaklumkan bahawa juruterbang terbabit merupakan satu-satunya individu dalam pesawat berkenaan dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan di kawasan sekitar. – Bernama