
BINTULU: Polis giat memburu 11 lagi suspek yang masih bebas, dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki tempatan di sebuah pusat hiburan di sini 27 April lepas.
Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Nixon Joshua Ali berkata hingga semalam, sembilan individu terdiri lapan lelaki dan seorang wanita, berusia lingkungan 20-an hingga 40-an telah ditahan dan direman bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati terdapat 11 suspek lain yang masih bebas dan dipercayai terlibat dalam insiden sama. Polis tidak akan berkompromi dan komited dalam mengesan kesemua suspek ini,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Nixon mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat spekulasi mengenai kes itu dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes ASP Mohammad Hashim Kasman di talian 014-6817837 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di 086-318304.
Dalam kejadian sekitar 1.00 pagi itu, satu pergaduhan dilaporkan berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan, mengakibatkan kematian seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun.
Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan dikejarkan ke sebuah hospital swasta di sini, sebelum dibawa ke Hospital Umum Bintulu dan kemudian disahkan meninggal dunia. – Bernama