
MIRI: Seramai lebih 80 sukarelawan telah menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan dan bangunan milik Pertubuhan Orang Cacat Sarawak (POCS) Cawangan Miri, semalam.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, berkata program tersebut diadakan susulan permohonan daripada pihak POCS yang memaklumkan keperluan tenaga kerja bagi menjayakan usaha pembersihan tersebut.
“Sebaik menerima makluman, saya segera menggerakkan lebih 80 sukarelawan bagi membantu usaha murni ini,” katanya.
Menurut beliau, program gotong-royong itu bertujuan membersihkan kawasan semak samun dan tumbuhan liar di sekitar pusat bagi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selesa dan luas untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti POCS pada masa akan datang.
Chiew turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang sanggup meluangkan masa dan tenaga dalam menjayakan program tersebut.
“Keprihatinan dan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan amat membanggakan. Saya menggalakkan masyarakat agar terus peka terhadap keperluan pusat-pusat kebajikan seperti ini dan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti gotong-royong demi membantu komuniti yang memerlukan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, semangat gotong-royong bukan sahaja mencerminkan nilai murni masyarakat Malaysia, malah membuktikan bahawa kemajuan komuniti bermula daripada usaha bersama dan keprihatinan semua pihak.
Oleh Liong Chai Ling