
BINTULU: Acara Bintulu Cops Run 2025 mencipta detik manis buat Harresh dan Hii Win Nie apabila masing-masing dinobatkan sebagai juara dalam kategori 10 kilometer (KM) Lelaki Terbuka dan 10KM Wanita Terbuka pada larian yang berlangsung meriah awal pagi tadi.
Dalam kategori Lelaki Terbuka, Harresh berjaya mengatasi saingan sengit daripada Goliath Siti yang meraih tempat kedua, manakala Alif Zaini menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Sementara itu, bagi kategori Wanita Terbuka, Hii Win Nie muncul sebagai juara, diikuti Yunizer Suhaili di tempat kedua dan Lee Kah Li di tempat ketiga.
Pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai RM1,000 berserta trofi dan pingat. Tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang RM600 dan RM400, turut disertakan trofi serta pingat penghargaan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak, SAC Rizal Abd Rahman Sidek, dan disaksikan Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali.
Acara julung kali ini dianjurkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dengan kerjasama OM Materials Sdn. Bhd. dan Farley Bintulu, dan berjaya menarik penyertaan seramai 1,328 peserta. Daripada jumlah itu, 864 peserta menyertai kategori 5KM manakala 464 peserta menyertai kategori 10KM Terbuka, yang terdiri daripada 334 lelaki dan 130 wanita.
Oleh Carolyne Utih