ARSENAL melakar rekod 21 kali mara ke perlawanan akhir Piala FA dengan dua gol tanpa berbalas hasil jaringan Pierre-Emerick Aubameyang.
Kemenangan yang mengejutkan 2-0 ke atas penyandang juara, Manchester City di Stadium Wembley awal pagi kelmarin itu amat penting sebagai pembakar semangat kepada anak buah Mikel Arteta itu.
Pengurus The Gunners, Arteta berjaya memerangkap pengendali City, Pep Guardiola dengan serangan balas pantas tatkala Aubameyang meledak gol di kedua-dua separuh masa permainan sekali gus menyaksikan perancangan Arsenal kali ini sangat sempurna.
Disebalik banyak bertahan sepanjang perlawanan, kemenangan berkenaan sudah cukup bermakna bagi Arsenal berbanding City, yang kurang bernasib baik berikutan beberapa percubaan liar pemain City.
Arsenal akan berdepan Chelsea atau Manchester United, yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir awal pagi tadi.
Perlawanan akhir bakal berlangsung pada 1 Ogos ini di Stadium Wembley.